Sudah tiba masanya kita menyelaraskan balik keutamaan kita. Selama ini kita sibuk bercerita soal perindustrian, infsrastruktur, perlancongan dan macam-macam lagi sehinggakan kita terlupa kepada keperluan kita yang paling asas sebagai seorang manusia iaitu makanan.
Ramai pakar telah mengeluarkan pendapat bahawa vaksin kepada COVID-19 memerlukan sekurang-kurangnya satu setengah tahun (Pertengahan 2021) sebelum boleh dihasilkan.[1] Yang terbaru pula menurut BBC News, vaksin itu akan dapat dihasilkan pada akhir tahun ini.[2]
Jika benar, persoalan yang paling kritikal yang perlu diberi perhatian adalah Food Security. Adakah setiap negara di dunia mempunyai bekalan makanan yang mampu bertahan untuk 12 bulan yang akan datang?
Perlu diingatkan yang aktiviti perdagangan dunia sekarang dalam keadaan lembab. Situasi ini menyebabkan gangguan yang paling teruk kepada rantaian bekalan makanan dunia sejak Perang Dunia Ke-2.[3]
Hal ini diburukkan lagi dengan sekatan eksport yang dilaksanakan oleh beberapa negara seperti Thailand, Russia, Vietnam dan Kemboja.[4] Ini sudah pasti akan menggugat bekalan makanan terutamanya kepada negara-negara yang mempunyai kebergantungan yang amat tinggi terhadap pengimportan makanan.
Malaysia contohnya memerlukan tiga juta tan beras setahun untuk menampung keperluan domestik. Buat masa ini, kita hanya mampu mengeluarkan dua juta tan beras dan selebihnya diimport daripada Thailand dan Vietnam. [5] Dengan sekatan eksport yang dilaksanakan oleh kedua-dua negara tersebut, bekalan beras domestik pastinya sedikit sebanyak akan terjejas.
Itu baru bercerita pasal beras, belum lagi bekalan makanan yang lain.
Menurut United Nations World Food Programme, 265 juta orang di seluruh dunia akan terkesan oleh krisis makanan yang timbul angkara COVID-19 pada tahun ini. Jangkaan ini adalah dua kali ganda daripada jangkaan asal yang dibuat sebelum munculnya pandemik ini.[6]
Justeru, isu Food Security bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang ringan. Kerajaan khususnya perlu memastikan bekalan makanan mencukupi untuk memenuhi keperluan domestik.
Masyarakat di negara kita pula mulai daripada sekarang mesti mengurangkan pembaziran makanan.
Masak apa yang perlu sahaja bukan semahu-mahunya memasak lepas itu kongsi di media sosial pasal masakan yang tak jadi.
Walaupun Malaysia berada di tempat ke-28 dalam Global Food Security Index[7], masalah gangguan bekalan makanan di waktu pandemik COVID-19 ini memang tak dapat dielak. Kita perlu bersedia dengan pelbagai kemungkinan. Jangan sudah terhantuk baru terngadah.
Yang paling penting selepas berakhirnya malapetaka COVID-19 ini adalah kerajaan perlu mula meletakkan isu Food Security sebagai salah satu isu terpenting. Sasaran utama adalah dengan mengurangkan kebergantungan kita kepada makanan import.
Untuk menuju ke arah itu, strategi-strategi seperti meningkatkan jumlah dana kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta membuat penyelidikan dan pembangunan secara bersama dengan universiti-universiti tempatan mesti diperkasakan.
Sektor pertanian kita khususnya perlu dibangunkan dengan lebih optimum. Tanah-tanah yang luas dan subur di negara ini perlu dimaanfaatkan dengan sebaik mungkin. Namun begitu, pembangunan sektor pertanian juga perlu mengambil kira isu alam sekitar.
Banyak lagi perkara yang perlu diperhalusi supaya Food Security negara berada pada tahap yang boleh menampung keperluan penduduk secara menyeluruh. Oleh sebab itu, industri makanan perlu diletakkan sebagai antara dasar kerajaan yang paling penting.
Hal yang demikian kerana COVID-19 telah mengajar kita banyak perkara. Tidak mustahil selepas COVID-19 akan ada bencana yang seumpamanya akan berlaku lagi.
Buat masa sekarang, kurangkan pembaziran dan berbelanja dengan hemat. InshaAllah, kita mampu mengharungi cabaran ini bersama.